(VIDEO) Selepas Dikritik, Asri Janggut Mohon Maaf Susulan Dakwaan Polis, Tentera Tak Solat

Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid yang dikritik kerana mendakwa pihak polis dan tentera tidak menjaga solat, hari ini membuat permohonan maaf menerusi satu rakaman video.

Beliau yang juga dikenali sebagai Asri Janggut berkata tidak akan mengulangi kesilapan yang sama, selain tidak berniat membuat kenyataan yang mencalarkan perasaan dua pihak berkuasa negara itu.

“Saya, Mohd Asri Hamid dengan ini sepenuh hati, rendah diri dan sehina-hinanya memohon maaf kepada seluruh anggota PDRM dan ATM atas kesilapan, kejahilan dan kebodohan saya kerana celuparnya mulut saya yang membuat satu kenyataan mengatakan kebanyakan polis malas solat.

“Saya memohon jutaan maaf kerana saya tidak jangka boleh cakap macam itu…mereka adalah pembantu negara, saya sekali lagi memohon maaf kerana Allah, maafkan atas segala kesilapan saya.

“Saya mengakui kebodohan, kesilapan saya dan reda atas apa yang berlaku, sekali lagi saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya PDRM dan ATM,” katanya melalui rakaman video.

Kenyataan Asri yang tular menerusi satu video berdurasi 31 saat itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyifatkan ia sebagai keterlaluan dan tidak perlu dibangkitkan di khalayak.

Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menitikberatkan soal agama dengan menyediakan kemudahan untuk beribadat dan didikan moral.

“Orang kena tahu yang PDRM juga ada hafiz dan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negara mempunyai surau.

“Saya tidak boleh paksa semua orang sembahyang … itu antara diri masing-masing dengan Tuhan,” ujar Hamid.

Tambahnya lagi ujian agama juga dijalankan setiap kali pengambilan calon konstabel dan pegawai yang baru di dalam PDRM.

Latest articles

Related articles

spot_img