Video Raya Sumbang: Aliff Syukri Diperintah Bela Diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini memerintahkan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman untuk membela diri atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang tiga tahun lalu.

Keputusan dibuat oleh Hakim Ahmad Fuad Othman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Fuad menegaskan bahawa kandungan video yang dimuat naik oleh tertuduh dianggap tidak sopan, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan, yang sepatutnya dihormati oleh umat Islam.

“Isu yang menjadi pertikaian adalah kesopanan dalam bulan Ramadan. Bulan ini adalah masa di mana umat Islam berpuasa dan sepatutnya dihormati. Jika makan di khalayak ramai dalam bulan puasa pun dianggap tidak sopan, apatah lagi memuat naik video yang tidak sesuai,” katanya.

Aliff Syukri diwakili peguam bela Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Mohd. Radzlan Jalaludin, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin.

Mahkamah menetapkan prosiding bela diri akan berlangsung selama empat hari, bermula pada 19 dan 22 Mei serta 16 Jun dan 3 Julai depan.

Mengulas keputusan mahkamah, Aliff Syukri berkata beliau menerima keputusan tersebut dan bersedia untuk membela diri.

“Saya menghormati keputusan mahkamah. Setelah hampir dua tahun kes ini berjalan, saya serahkan sepenuhnya kepada peguam saya untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada media.

Terdahulu, pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri, 38, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, @aliffsyukriterlajaklaris, dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles