(VIDEO) PN, Parti Baru Kena Belajar ‘Hormat Sarawak’ Daripada UMNO

SARAWAK: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) memberi amaran kepada Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti baru untuk tidak bertanding dan meletakkan calon mereka di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.

Naib Presiden PBB, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebaliknya menegaskan untuk PN dan parti ‘luar negeri’ untuk belajar menghormati parti-parti politik tempatan, seperti yang dilakukan oleh UMNO sejak bertahun lamanya.

“Belajarlah dari UMNO. Sudah berapa lama UMNO telah menguasai hampir kesemua negeri di Malaysia. (Namun) Mereka hormat dengan parti-parti politik di Sarawak. Sebab itu anda tidak akan jumpa UMNO di Sarawak.

“Kita beritahu UMNO bertahun lamanya supaya tidak kuasai negeri ini kerana kita (parti-parti politik tempatan) boleh menjaga negeri ini.

“Maka dengan rasa hormat seperti itu, maka kita pun hormat UMNO,” katanya dalam satu sidang media.

Terdahulu Abdul Karim mengulas kesediaan PN Sarawak untuk bertanding di PRN, 18 Disember depan.

Pengerusi PN Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam soal pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN kelak.

Malah beliau menjelaskan PN Sarawak menyerahkan sepenuhnya kebijaksanaan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kebijaksanaan Ketua Menteri juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dalam membuat sebarang keputusan.

Diajukan hal itu, Abdul Karim bagaimanapun mengingatkan asas kerjasama PN yang berbeza dengan kerajaan hari ini, sama ada di peringkat persekutuan dan negeri.

“PN Sarawak mesti faham nadi dan perasaan rakyat Sarawak. Anda kena faham mengapa tertubuhnya Gabungan Parti Sarawak (GPS). Rakyat Sarawak mahu menjadi diri sendiri. Mereka mahu orang yang akan mentadbir kerajaan dan rakyat Sarawak adalah parti-parti yang datangnya dari negeri ini sendiri.

“Kita tidak akan sokong parti-parti lain yang datang dari Semenanjung Malaysia. Kita bukan sebahagian daripada PN, walaupun kita mesra-PN.

“Malah dalam pembentukan kerajaan persekutuan sebelum ini PN bersama GPS, bukan PN di dalam GPS,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada semalam menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak pada 6 Disember, diikuti hari pengundian awal 14 Disember dan 18 Disember sebagai hari mengundi.

 

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini