KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman hari ini didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat sumbang dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Bagaimanapun Vida, 51, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini, terhadap video muzik Muah Muah Raya yang dimuat naik pada 29 April lalu melalui akaun YouTube DSV Entertainment.
Video berkenaan kemudian dilihat di di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya pada 5 Mei lalu.
Pengakuan berkenaan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Jika sabit kesalahan, Vida selaku Orang Kena Saman (OKS) boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya SKMM Fazril Sani Mohamed Fadzil, mencadangkan jaminan RM10,000.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Vida, Datuk Adnan Seman memohon jaminan diturunkan kepada RM2,000 dengan alasan ia kesalahan pertama OKS.
Ahmad Fuad kemudian mengarahkan Vida membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Beliau kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh sebutan untuk serahan dokumen.