Victor Chin Nafikan Dakwaan ‘Corporate Mafia’, Sambut Siasatan RCI

KUALA LUMPUR, – Ahli perniagaan Victor Chin Boon Long menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau merupakan sebahagian daripada rangkaian yang digelar “Corporate Mafia”, sambil menyatakan kesediaannya menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan tersebut secara terbuka dan bebas.

Dalam satu kenyataan media  Chin berkata beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang kumpulan yang cuba mengambil alih syarikat melalui taktik tidak sah, dan semua pelaburan atau pengambilalihan yang dilakukannya adalah melalui saluran korporat yang sah serta mematuhi keperluan pengawal selia.

Menurut beliau, label “Corporate Mafia” yang dikaitkan dengan namanya berpunca daripada hubungan perniagaan lampau dengan beberapa individu atau syarikat yang kemudian disiasat oleh pihak berkuasa, walaupun pegangan sahamnya dalam beberapa kes telah dilupuskan sebelum sebarang salah laku didakwa berlaku.

Chin berkata beliau akan melantik peguam di Kuala Lumpur bagi mengurus dan menyimpan semua dokumen berkaitan yang didakwanya boleh membuktikan bahawa beliau tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang dikaitkan dengan “Corporate Mafia”. Dokumen tersebut akan disediakan kepada agensi penguatkuasaan serta pihak berkepentingan yang ingin meneliti fakta kes berkenaan.

Dalam pada itu, siasatan terhadap tokoh korporat tersebut terus berjalan apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dilaporkan menyerbu beberapa premis miliknya sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap urusan korporat yang dikaitkan dengannya.

Menurut laporan The Star serbuan tersebut dilakukan pada Jumaat lalu di kediaman Chin di Sungai Long dan Kemensah berhampiran Kuala Lumpur. Antara barangan yang dirampas termasuk dua buah kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai dalam ringgit serta beberapa mata wang asing selain dokumen yang dipercayai berkaitan siasatan.

Sumber turut memaklumkan bahawa Chin dan isterinya tidak berada di rumah ketika serbuan dijalankan, namun tiga pembantunya berada di premis tersebut.

Pada minggu lalu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Kabinet telah mengarahkan beberapa agensi penguatkuasaan termasuk PDRM, SC, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk meneruskan siasatan terperinci berkaitan isu manipulasi korporat yang didakwa berlaku.

Menurut Fahmi, tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti kesalahan, termasuk kemungkinan merampas hasil yang dipercayai mempunyai unsur jenayah.

Sementara itu, Chin dalam kenyataannya menegaskan bahawa dirinya bukan sahaja menjadi sasaran tuduhan, malah mendakwa turut menjadi mangsa kepada taktik yang sama yang sering dikaitkan dengan “Corporate Mafia”.

Beliau juga mendakwa pembekuan akaun yang dikaitkan dengan siasatan berkenaan telah menjejaskan lebih 500 akaun bank dan broker saham, sekali gus memberi kesan kepada pelabur serta operasi perniagaan.

“Saya bersedia memberi kerjasama penuh kepada sebarang siasatan bagi membersihkan nama saya sekali dan untuk selama-lamanya,” katanya.

Chin turut merayu agar pihak berkuasa mempertimbangkan keadaan kesihatan ibunya yang sedang pulih daripada strok sekiranya sebarang tindakan penguatkuasaan melibatkan kediaman keluarganya di Sungai Long.

Beliau menegaskan bahawa sekiranya tekanan berterusan tanpa penyelesaian yang telus, beliau mungkin terpaksa mendedahkan maklumat yang diketahuinya bagi memastikan “kebenaran akhirnya terbongkar”.

BBerkaitan

Latest articles