Vandelay Ventures Sdn Bhd syarikat pertama pengeluar bahan api SAF di Malaysia

KUALA LUMPUR, Mengorak langkah setapak ke hadapan, Vandelay Ventures Sdn Bhd (VVSB) mengukir sejarah baharu apabila menjadi syarikat pertama sebagai pengeluar Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Vandelay Ventures Sdn Bhd, Haji Mohamed Mohar Haji Mohamed Onn berkata langkah itu sejajar dengan pelan pembangunan Sabah sebagai ‘Sabah Maju Jaya 2025’.

Semalam, Vandelay Ventures Sdn Bhd dan SULZER GTC Technology telah menandatangani perjanjian sebagai penyedia teknologi bagi melestarikan inisiatif Sabah Maju Jaya itu.

Pada 14 Feb lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah melancarkan Sebuah Kompleks Perindustrian Tenaga Diperbaharui Sabah Maju Jaya (SMJREIC) yang terletak di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar.

Menurut Mohar dengan kerjasama itu secara tidak langsung akan membuka lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk di Sabah apabila SMJREIC siap pada 2025 nanti.

“Apabila kita bina kompleks ini, ia akan menjadi yang ke-9 di dunia dan Malaysia akan menjadi yang pertama membinanya.

“Kita sasarkan siap pada penghujung 2024 atau awal 2025,” katanya kepada The Rakyat Insight selepas Majlis menandatangani perjanjian antara Vandelay Ventures Sdn Bhd dan SULZER GTC Technology di Pejabat Urusan Vandelay Ventures Sdn Bhd.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Senior Naib Presiden SULZER GTC Technology, Sander Van Donk.

Pada 14 Feb lalu, Hajiji berkata, usaha merealisasikan SMJREIC dilaksanakan oleh syarikat Suria Capital Holdings Berhad dengan kerjasama Vandelay Ventures Sdn Bhd dan akan memberi manfaat kepada Sabah.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, usaha itu akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri, menjana peluang pekerjaan dan membawa masuk teknologi baharu ke Sabah.

Dalam pada itu, Mohar berkata apa yang penting mengenai projek ini adalah mengenai penghasilan penggunaan teknologi hijau yang dapat mengurangkan pencemaran secara tidak langsung dalam negara.

Katanya, Malaysia amat beruntung dapat menggunakan perkhidmatan Sulzer yang telah berada di pasaran selama 180 tahun.

“Setakat ini, Sulzer merupakan penyedia teknologi terbaik di pasaran dunia dan ia tidak dapat dinafikan lagi.

“Harapan apabila menggunakan teknologi baru ini banyak kebaikan diperolehi kepada rakyat Malaysia.

“Berikutan perlaksanaan projek di Sabah, secara tidak langsung kita dapat memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat di sana,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles