UMNO, menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi yang berlangsung petang semalam membuat ketetapan untuk membawa usul memutuskan hubungan dengan BERSATU semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibawa untuk dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual pada 31 Januari ini.
Turut dibawa ke perhimpunan tersebut kelak usul supaya kerjasama UMNO dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) dipertahankan.
Malah UMNO juga akan membawa usul gesaan supaya PRU15 diadakan sebelum berakhirnya suku pertama tahun ini tertakluk kepada status COVID-19 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat.
Sementara itu Ahli Jawatankuasa Pusat DAP (CEC), Ronnie Liu menggesa agar UMNO sepakat meninggalkan Perikatan Nasional (PN) sekaligus memutuskan kerjasama bersama BERSATU yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Gesaan itu menimbulkan tanda tanya mengapa pemimpin DAP itu beria-ia benar mahu UMNO bertindak meninggalkan BERSATU.
Menulis di Facebooknya malam tadi, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek berkata, tindakan itu sebenarnya adalah hasrat dan kehendak akar umbi parti berkenaan.
“Saya tidak berani buat ramalan malam ini. Saya cuma berharap para ahli MT UMNO berani putuskan hubungan dengan Muhyiddin dan PN ikut aspirasi akar umbi serta-merta.
“Ini supaya satu langkah positif yang baru boleh dilancarkan demi kepentingan parti UMNO dan menstabilkan negara.
“12/13 jawatankuasa negeri dan 3/4 bahagian menolak Bersatu dan PN,” tulisnya.