Ustaz Ebit Lew Terpaksa Henti Misi Bantuan, Jika Teruskan Boleh Kena Penjara, Denda

Ramai yang tahu bahawa pendakwa terkenal, Ustaz Ebit Lew sedang menggerakkan misi bantuannya di Sabah.

Sambutannya yang diterima Ustaz Ebit dan rombongannya amat luar biasa, malah mendapat pujian ramai termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

Malah dalam tempoh sehari dua ini, Ustaz Ebit berkongsikan kegembirannya berjaya mengIslamkan ramai penduduk Bajau Laut di Semporna selain mahu membina sekolah dan menyediakan tenaga pengajar di sana.

Bagaimanapun, perkongsian terbaru Ustaz Ebit hari ini benar-benar membuatkan ramai pengikutnya tertanya-tanya mengapa figura itu terpaksa menghentikan misi bantuannya di Semporna.

Malah Ustaz Ebit turut mendakwa boleh dikenakan hukuman penjara atau denda jika diteruskan.

“Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di Pulau-Pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah. Pagi ini saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke Pulau-pulau di Semporna Minta diberhentikan bantuan disekitar sini. Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda 100 ribu atau penjara 3 tahun.

“Saya minta maaf. Saya terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang saya rancang. Bukan sekolah saya. Tiada caj. Lebih kepada tempat nak aktiviti dan pendidikan. Sebab dekat sana tiada tempat untuk buat begitu. Dari bot jer bagi bantuan. Saya dah beli kayu-kayu. Saya dah kumpul 7 orang guru. Semangat mereka nak mendidik. Dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf yer ustaz ustazah semua.

“Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota yang patutnya bawa kami ke Pulau-pulau. Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. Macam keluarga sendiri. Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua. Saya tidak berkecil hati perjuangan di teruskan.

“Saya akan terus ke Tawau dan tunggu flight di Tawau. Sempurna sumbangan sedikit tempat di Tawau yang saya janji. Terima kasih semua. Sehingga berjumpa lagi jika ditakdirkan Allah. Saya serahkan segala urusan kepada Allah. Cukuplah kepada Allah orang mukmin itu berserah,” demikian tulisnya di Facebook.

Tidak dapat dipastikan mengapa misi bantuannya di Semporna terpaksa dihentikan.

Namun beberapa pengguna Facebook memberi pendapat tindakan itu ada kaitannya dengan faktor keselamatan apatah lagi Semporna berada di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Malah perintah berkurung di ESSZone juga akan dilanjutkan sehingga 14 Februari depan.

BBerkaitan

Latest articles