KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan 30 kali sebatan terhadap seorang guru tahfiz selepas mengaku bersalah atas 15 kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajarnya, tahun lalu.
Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd Faizal Man, 45, yang juga seorang duda yang membuat pengakuan bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan semua kertas pertuduhan, bapa tunggal itu didakwa melakukan perbuatan terbabit bagi maksud seksual ke atas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dua bulan dengan cara menggesel kemaluannya ke bahagian punggung mangsa dan memasukkan kemaluannya ke dalam mulut mangsa.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik tidur dalam surau madrasah tahfiz berkenaan di Air Papan, Mersing bermula pertengahan Mei 2024 hingga 31 Oktober 2024.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama-sama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat serta hukuman tambahan pemenjaraan maksimum lima tahun dan sebat minimum dua kali, jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Ikhwaan Zulkifli dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman penjara dan sebatan yang paling rendah atas alasan tertuduh sudah mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa dan kos semua pihak.
“Tertuduh sudah sedar dan insaf serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi. Tertuduh juga mahu memohon maaf kepada mahkamah dan pelajar tersebut serta keluarga mangsa.
“Tertuduh seorang duda yang menanggung tiga anak berusia antara 11 hingga 16 tahun yang semuanya masih bersekolah. Tertuduh hanya berpendapatan RM1,600 sahaja sebulan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan individu.
“Hukuman adalah sebagai pengajaran dan tauladan kerana ini adalah satu kesalahan jenayah seksual membabitkan mangsa berusia 14 tahun dua bulan yang bersekolah di madrasah tahfiz,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan ketika tempoh penahanan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut fakta kes, laporan polis dibuat keluarga mangsa selepas mangsa tidak mahu pulang ke madrasah tahfiz itu pada 29 Januari lalu kerana mendakwa selepas mendaftar masuk ke madrasah itu pada 24 April 2024 dan pada penghujung April itu, dia ditempatkan di satu bilik bersama-sama tertuduh dan merasa sakit serta perit pada bahagian dubur ketika bangun pagi.
Mangsa mendakwa pada waktu malam ketika sedang tidur, dia merasai tertuduh memasukkan kemaluannya ke dalam mulut mangsa dan menekup muka mangsa dengan bantal dan perbuatan itu dilakukan berulang kali.
Tertuduh kemudian ditahan polis pada 30 Januari lalu di madrasah berkenaan dan hasil siasatan mendapati mangsa adalah anak muridnya dan tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal itu terhadap mangsa bermula Mei hingga Oktober tahun lalu.