KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga nelayan termasuk dua beranak yang dilaporkan hilang sejak mereka keluar ke laut Khasmis lalu, kini memasuki hari ketiga.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Romli Mustafa, berkata operasi hari ini membabitkan aset udara dan sebuah kapal Maritim Malaysia, bot ronda polis serta bot Angkatan Pertahanan Awam.
Beliau berkata, sektor pencarian diperluaskan meliputi keluasan sejauh 371.28 batu nautika persegi.
Bagaimanapun, usaha mengesan Asrulhisham Zainon, 47, dan anaknya, Shahril Aiman Asrulhisham, 16, serta seorang awak-awak, Mohamad Al-Amin Sufian, 29, masih belum menemui sebarang petunjuk.
“Setakat ini tiada sebarang petunjuk diperoleh di lokasi,” katanya, menurut Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan tiga nelayan dikhuatiri hilang ketika menangkap ikan menggunakan rawai sejak petang Jumaat lalu di sekitar kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar.
Ketua Polis Kuala Muda, Wan Azharuddin Wan Ismail dilaporkan berkata, berdasarkan laporan kehilangan tiga individu itu, mangsa dikatakan menaiki bot berasingan dengan kumpulan nelayan dari Jeti Batu Lintang Tikam Batu dan dijangka pulang pada 4 pagi Jumaat lalu.
Tetapi, katanya, mangsa meminta kumpulan nelayan itu pulang dahulu kerana kerjanya belum selesai.