Usah Spekulasi Pencalonan Azhar

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa hari ini menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi pencalonan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun yang dikatakan bakal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ujarnya, tidak wajar mengaitkan pencalonan Azhar dengan abangnya, Tan Sri Idrus Harun yang juga Peguam Negara.

“Saya rasa tak adil kaitkan pencalonan Azhar dengan abangnya sebagai Peguam Negara. Beliau dilantik sebagai Pengerusi SPR sebelum lantikan Peguam Negara dan menunjukkan khidmat baik serta cemerlang di SPR.

“Bagaimanapun, saya rasa semua pihak boleh berspekulasi sehingga perkara ini (lantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat) disahkan. Seseorang yang hendak dilantik ke jawatan ini memang perlu melepaskan semua jawatan, termasuk dalam parti politik atau mana-mana badan lain,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu juga berkata tiada perkara luar biasa Azhar dicalonkan sebagai Speaker dewan Rakyat memandangkan beliau memenuhi kriteria yang diperlukan.

“Proses ini saya anggap biasa tetapi pelantikan akan berlaku ketika dewan bersidang selepas mendapat majoriti mudah daripada Ahli Parlimen,” ujarnya lagi.

Awal hari ini, media melaporkan bahawa Azhar telah melepaskan jawatannya sebagai pengerusi SPR, pada semalam, dan tidak akan menghadiri program pengumuman keputusan PRK DUN Chini, Ahad ini.

Begitu juga dengan program-program di bawah kendalian suruhanjaya berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles