KUALA LUMPUR: Tular satu klip video memaparkan gurauan kasar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengetuk kepala seorang wanita dengan helaian kertas.
Di laman sosial, gurauan berkenaan dikritik oleh pengguna yang menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku, selain mendakwa Muhammad Sanusi seperti tidak menghormati wanita.
Kejadian itu turut menarik perhatian Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz yang membuat teguran terhadap Muhammad Sanusi yang sepatutnya menjaga kehormatan orang ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu menegaskan, adab perlu dijaga lebih-lebih lagi oleh pemimpin berpangkat besar.
“Pemimpin besar buat, pengikut akan ikut sekali. Jangan normalisasi semua benda sebagai jenaka.
“Tunjukkan sikap hormat, Muhammad Sanusi,” katanya dalam ciapan Twitter.
Menerusi video yang sama juga, orang ramai di lokasi kejadian kelihatan hanya ketawa, seolah-olah menganggap perbuatan itu sebagai jenaka.