Usah Kejar Tampuk Kuasa, Keputusan PRN Amaran Akhir Hayat UMNO

KUALA LUMPUR: Hala tuju UMNO perlu diperbetulkan susulan majoriti pengundi Melayu pada hari ini tidak lagi berpihak kepada parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz juga menegaskan kepimpinan UMNO perlu bangkit dan segera memperbetulkan keadaan parti sebelum semakin teruk .

Bahkan, beliau turut mengingatkan tempoh getir hari ini bukan sekadar ingin mengejar kuasa jangka masa pendek tetapi usaha yang bersungguh untuk UMNO kembali diyakini rakyat dan juga akar umbi parti.

“Jika keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung Sabtu lalu bukan amaran akhir kepada soal survival parti Melayu (UMNO) ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak.

“Semua di dalam UMNO, termasuk saya perlu muhasabah diri dan membina semula kekuatan parti supaya kita dapat kembali berdiri gagah tanpa bergantung kepada mana-mana parti,” katanya dalam satu hantaran media

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata UMNO Selangor juga perlu kembali mengenal pasti segmen yang perlu mereka dekati untuk diberi keutamaan dalam perjuangan UMNO.

Menurut beliau, walaupun keputusan di Selangor mengekalkan Kerajaan Perpaduan namun ia tidak mampu menutup hakikat pedih bahawa prestasi Barisan Nasional amat lemah di Selangor.

Katanya, dari 12 kerusi yang ditandingi BN, yang menang hanyalah dua – termasuk satu yang asalnya ialah kerusi DAP.

“Hakikat ini harus diamati terutamanya oleh pemimpin UMNO di Selangor. Jika keputusan PRN ini bukan amaran akhir kepada soal survival parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak.

“Di Selangor, setelah 15 tahun, UMNO masih lagi ditolak.Ramai ahli-ahli UMNO Selangor yang berkongsi kekecewaan dan kesedihan mereka dengan nasib UMNO di Selangor,” katanya.

Dalam mendepani senario politik kini, Tengku Zafrul berkata, strategi, ketrampilan dan daya tarikan parti menjadi penentu kejayaan atau kegagalan.

UMNO, katanya, bukan milik kelompok mana-mana malah parti itu ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu, atas sebab itu UMNO tidak boleh terlalu radikal.

Beliau berkata, UMNO perlu meraikan pandangan dan pandangan ini perlu diurus dengan baik agar UMNO terus subur menjadi sebuah parti tempat orang Melayu berteduh.

“Hari ini hala tuju dan ideologi UMNO Selangor perlu jelas dan diterima ahli akar umbi, bukan semata-mata dilihat hanya ingin mengejar tampuk kuasa tetapi dalam masa yang sama tidak dapat memberi keyakinan kepada ahli di bawah dan juga rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles