Usah Biarkan Isu 3R Gugat Keamanan Negara, PM Beri Amaran

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak dilarang untuk memainkan isu sensitif
melibatkan raja, kaum dan agama atau 3R, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau kesal kerana isu yang sama kerap dimainkan sehingga berlarutan dan ini semestinya memberi kesan tidak elok kepada kestabilan dan keamanan negara.

“Negara tidak boleh bertahan dan stabil kalau dibiarkan unsur-unsur kecil ini yang sangat terdesak untuk membuat apa sahaja hanya untuk mempertahankan kuasa atau mencari pengaruh baru.

“Jadi setakat ini cukup amaran terakhir dari kerajaan, saya selaku perdana menteri tidak ada pilihan kerana desakan daripada kalangan berfikir dan untuk mempertahankan keselamatan negara.

“Ini mengatasi kepentingan kerana orang-orang tertentu yang merasakan kedudukan terlalu tinggi dan hebat tidak mungkin terdakwa atau tercabar,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian sebagai diminta mengulas tindakan beberapa pihak yang menggunakan isu 3R dalam pelbagai bahasa dalam meraih sokongan pengundi.

Katanya, persetujuan untuk mengambil tindakan itu bukan sahaja dibuat di peringkat parti dan kerajaan tetapi juga dalam perbincangan dengan Raja-Raja Melayu.

Tambah Anwar, Raja-Raja Melayu telah membuat gesaan supaya negara ini diselamatkan daripada kelompok yang sangat terdesak untuk mempertahankan kuasa.

Sementara itu Anwar memberitahu beliau telah dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan polis memantau isu tersebut dalam semua bahasa.

“Kalau pelampau itu orang Melayu atau berpangkat tinggi sekali pun atau dalam bahasa Cina atau Tamil itu bukan persoalan. Kalau langgar peraturan dan undang-undang melanggar perlembagaan dan menyemai bibit perpecahan (tindakan diambil),” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles