UPKO Umum Keluar PH; Ewon, Pimpinan Parti Tegaskan Perjuangan ‘Sabah First’ Lebih Utama

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengumumkan keputusan mengejut untuk keluar serta-merta daripada Pakatan Harapan (PH), sekali gus menamatkan kerjasama politik empat tahun bersama gabungan itu.

Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Agang, berkata keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi UPKO yang diadakan bagi membincangkan hala tuju baharu parti berasaskan agenda ‘Sabah First’.

“Mesyuarat khas hari ini menyokong penuh keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam prosiding semakan kehakiman berkaitan hak 40 peratus hasil Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Nelson, sepanjang empat tahun bersama PH, UPKO kekal konsisten memperjuangkan agenda Sabah dalam setiap rundingan politik dan manifesto pilihan raya.

Namun, katanya, wujud perbezaan tafsiran dan pendirian ketara antara UPKO dengan parti-parti komponen PH di peringkat nasional khususnya dalam isu pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta kegagalan melaksanakan autonomi sebenar kepada PH Sabah.

“Kepengerusian PH Sabah oleh UPKO tidak pernah disahkan oleh Majlis Presiden PH disebabkan bantahan daripada PKR Sabah. Malah, UPKO turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui proses pemilihan rasmi,” jelasnya.

Nelson turut mendakwa Presiden UPKO hanya dilantik sebagai koordinator PH Sabah tanpa kuasa sebenar, manakala keputusan penting termasuk persiapan pilihan raya tetap dibuat oleh PKR, bertentangan dengan semangat autonomi yang dijanjikan sebelum ini.

Jelasnya lagi, hasil penilaian semula kepimpinan tertinggi parti mendapati hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami aspirasi dan keperluan rakyat negeri itu berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Hanya parti-parti tempatan Sabah yang benar-benar menghayati denyut nadi, jiwa, dan impian rakyat Sabah. UPKO berpegang teguh bahawa hak 40 peratus hasil negeri adalah hak berasingan dan tidak boleh disamakan dengan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, UPKO kini membuka ruang untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah lain bagi memperkukuh perjuangan pelaksanaan sebenar MA63 dan memastikan hak negeri itu dipertahankan secara menyeluruh.

BBerkaitan

Latest articles