KOTA BHARU: Aksi seorang lelaki mengenakan kostum ikan duyung bagi mempromosikan jualan air balang membawa padah apabila dia ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), kelmarin.
Pemuda berusia 24 tahun itu ditahan di kediamannya di Kampung Chetok, Pasir Mas selepas video promosi tersebut tular di media sosial.
Difahamkan, rakaman berkenaan dibuat sehari sebelum Ramadan dan dimuat naik pada 1 Ramadan lalu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 19 dan 20 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (1) 2019 atas kesalahan berpakaian menyerupai wanita dan berkelakuan tidak sopan.
Bagaimanapun, dia dibebaskan dengan bon jaminan selepas memberi keterangan dan diarahkan hadir semula ke Jaheaik pada 8 Jun depan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki tersebut menerima bayaran RM200 daripada pemilik gerai bagi tujuan menghasilkan video promosi berkenaan.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa tempatan bertindak menarik balik permit jualan air balang di gerai terbabit selain mengeluarkan kompaun kepada pemiliknya pada 22 Februari lalu.
Terdahulu, aksi ‘duyung’ lelaki itu mencuri perhatian ramai selepas video berkenaan tersebar luas dan mengundang pelbagai reaksi warganet.










