Undi Percaya: Hamzah Dakwa Usul Yang Banyak Persoalan

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin menganggap usul undi percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini membawa banyak persoalan.

Terdahulu usul berkenaan dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk dibahaskan.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menjadi pembahas pertama daripada 12 ahli Parlimen yang terpilih bagi membahaskan usul undi percaya terhadap Anwar.

“Usul yang dibawa oleh Petrajaya ini membawa kepada banyak persoalan: Apakah usul ini mempersoalkan kuasa dan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau adakah kerana kerajaan yang dibentuk ini adalah sebuah kerajaan minoriti?

“Tahniah YAB Tambun yang telahpun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November yang lepas walaupun seperti kenyataan YAB Tambun sendiri, bahawa YB Pagoh sudahpun dalam pusingan pertama memperolehi sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Malah bekas Menteri Dalam Negeri itu juga mempertikaikan perjanjian persefahaman yang ditandatangi oleh Anwar dan empat pemimpin parti yang lain.

Hamzah mendakwa MoU itu sebagai merosakkan dan memudaratkan.

“Perjanjian itu adalah satu perjanjian haram yang menyekat, merosakkan dan memudaratkan emokrasi berparlimen,” katanya sambil merujuk kepada Klausa 4(a) dan 4(b) Perjanjian Persefahaman Kerjasama tersebut.

Bahkan, Hamzah berkata ramai dalam kalangan mereka yang terlibat dalam MoU itu menolak dan tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang ditandatangani.

Katanya, MIC yang merupakan komponen BN turut telah menyatakan bahawa perjanjian ini tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui di Dewan Tertinggi BN.

“Adakah ini demokrasi yang dimaksudkan oleh YAB Tambun?

“Dengan ini saya ingin menekankan bahawa Perjanjian Persefahaman tersebut adalah tidak sah dan tidak terikat kepada Ahli-ahli Parlimen PH, BN, GPS, GRS dan
Warisan.”

BBerkaitan

Latest articles