KUALA LUMPUR: Meskipun ada kritikan supaya dirinya berehat, meluangkan masa bersama anak dan cucu serta dan melakukan lebih banyak ibadah, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai jawapan tersendiri mengapa beliau masih berminat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
walaupun umurnya akan mencecah 100 tahun tiga tahun lagi.
Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pengerusi Pejuang itu menegaskam, peluang umur yang panjang yang diberikan Allah SWT kepada dirinya pada hari ini juga perlu digunakan untuk berjuang.
Malah Dr Mahathir juga menegaskan perjuangan menentang rasuah dan salah laku juga merupakan sebahagian ibadah yang dituntut.
Dr Mahathir akan memasuki usia 100 tahun dalam masa tiga tahun akan datang, memegang jawatan Perdana Menteri sebanyak dua kali.
Terdahulu, ramai yang sinis dan melemparkan kritikan terhadap Ahli Parlimen Langkawi itu selepas mengesahkan dirinya akan mempertahankan kerusi yang sama dalam PRU-15.
“Pertamanya, saya masih lagi hidup dengan rahmat Allah. Bagi saya umur panjang beri peluang kepada saya untuk terus berjuang. Tidak ada perjuangan yang lebih baik, selain dari berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.
“Saya percaya perjuangan tersebut juga adalah satu ibadah seperti mana yang saya diwajibkan melakukan ibadah samada di masjid mahupun ibadah-ibadah yang lain.
“Saya percaya perjuangan itu satu ibadah dan tidak ada persaraan apabila melaksanakan ibadah. Ini termasuklah meneruskan perjuangan,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Dalam pada itu Dr Mahathir belum memutuskan untuk mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri jika GTA berjaya memperoleh kemenangan.
“Sebagai pemimpin, saya tidak boleh duduk mengarah dan menyuruh orang melakukan sesuatu tanpa saya sendiri turut melakukannya.
“Jika saya mahu orang lain berjuang menentang kleptokrat dan penyamun-penyamun negara, saya mesti turut serta. Selagi hidup, saya akan terus berjuang,” kata Mahatahir.