Umum Calon MB Pengukur Parti Serius Mahukan Mandat Rakyat

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik berpendapat kegagalan untuk parti-parti politik menamakan calon Menteri Besar (MB) Johor masing-masing sebagai satu kesilapan besar dalam strategi masing-masing.

Dr Azmi Hassan berkata tindakan tidak menamakan calon MB hanya akan mengundang pelbagai spekulasi dan tanda tanya dalam kalangan pengundi berkenaan keseriusan mereka hendak mendapatkan kepercayaan rakyat.

“Di mana-mana negara pun, kalau ada pilihan raya mesti parti yang bertanding sudah ada calon pemimpin yang akan diangkat sebagai peneraju.

“Begitu juga sepatutnya berlaku di Johor apabila berlaku pilihan raya negeri,” katanya memetik MalaysiaGazette.

Beliau yang juga salah seorang pengundi Johor berkata, sudah tentu rakyat tertanya-tanya siapakah yang menjadi calon MB jika sesuatu parti dipilih.

“Sebagai pengundi sudah tentu saya mahu tahu, kalau saya undi parti ini siapa calon MB dan kalau pilih parti itu siapa pula MB. Apatah lagi jawatan MB itu adalah individu yang akan mengemudi negeri ini.

“Dan, kalau ada parti politik yang tidak menamakan calon mereka, timbul pula soalan adalah mereka langsung tidak ada calon, kenapa tak calon, adalah tidak capai persetujuan antara dalam parti.

“Kalau begitu adakah parti berkenaan berkecamuk dan sebagainya. Sekiranya nama calon pun tak boleh diumumkan apa berlaku nanti selepas pilihan raya berakhir? Ia lebih rumit jika tiada calon,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Azmi menolak dakwaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang masih tidak belum mengumumkan calon MB Johor kerana faktor kejutan.

Jelasnya, mustahil wujud elemen kejutan kerana calon MB adalah perkara serius memandangkan individu itu juga bakal menjadi ikon kerajaan negeri.

BBerkaitan

Latest articles