UMNO Yang Patut Tukar Presiden, Bukan PAS, Takiyuddin Balas Kit Siang

KUALA LUMPUR: Memandangkan UMNO dan DAP kini saling bekerjasama, adalah lebih baik untuk Tan Sri Lim Kit Siang menasihatkan rakannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai Presiden.

Saranan itu dilontarkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas Kit Siang menggesa Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi lalu kepada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memimpin parti Islam berkenaan.

Cadangan itu disuarakan selepas Ahmad Samsuri menang dalam PRK Parlimen Kemaman, Sabtu lalu, dan melihat kepada pembawaan Menteri Besar Terengganu itu yang lebih sederhana dan terbuka.

Sementara itu Takiyuddin menasihatkan Kit Siang sepatutnya bimbang dengan keadaan UMNO yang semakin hilang sokongan.

“Jika Tan Sri Lim berasa berhak untuk menimbulkan persoalan mengenai perubahan kepimpinan parti-parti selain DAP maka lebih tepat dan berfaedah jika beliau menasihati parti sekutunya dalam kerajaan, khasnya UMNO yang jelas semakin kehilangan sokongan dalam kalangan ahlinya sendiri, apatah lagi orang awam.

“Keadaan ini sepatutnya lebih membimbangkan Tan Sri Lim, terutamanya apabila kepimpinan UMNO turut terpalit dengan kes-kes jenayah besar yang pernah ditentang oleh DAP sendiri tidak lama dulu,” ujarnya.

Takiyuddin dalam pada itu meminta Kit Siang menuedari bahawa calon UMNO, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor kehilangan kira-kira 20,000 undi dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Terengganu Sabtu lepas.

“Trend ini sangat jelas dalam semua PRK yang diadakan selepas PRU15 baik di Terengganu, Johor mahupun Pahang.

“Justeru lebih bermanfaat sekiranya Tan Sri Lim Kit Siang memberi tumpuan kepada masalah dalaman PH-BN sendiri, serta isu kehilangan sokongan dan populariti yang dialami oleh Putrajaya.

“Bukannya terus bermain politik picisan, hipokrit, hyperbole dan spekulatif yang tidak akan membantu mewujudkan masyarakat serta negara yang lebih baik, jujur dan demokratik,” katanya.

Dalam pada itu Takiyuddin menegaskan PAS tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Abdul Hadi dan kedudukannya sebagai presiden hanya dicabar sekali namun gagal.

Apatah lagi kepimpinan Abdul Hadi adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan era sebelumnya.

“PAS kini merupakan parti tunggal terbesar dengan kerusi terbanyak di Parlimen, menguasai pentadbiran empat negeri dan mempunyai wakil di semua Dewan Undangan Negeri di Semenanjung,” kata beliau.

BBerkaitan

Latest articles