KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan tidak akan mengorbankan kestabilan negara demi kepentingan politik sempit, sebaliknya terus membuat keputusan berdasarkan kepentingan rakyat dan keamanan politik.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kestabilan politik menjadi kunci kepada keyakinan pelabur dan kekuatan ekonomi, yang kini menunjukkan perkembangan positif.
Menurut beliau, keutamaan UMNO ketika ini ialah memperkukuh kerajaan sedia ada bagi memastikan kestabilan berterusan dan kebajikan rakyat terjamin.
Mengulas spekulasi kerjasama politik menjelang PRU16, Asyraf menegaskan tiada sebarang keputusan dibuat dan fokus utama parti adalah mengekalkan kestabilan kerajaan.
Katanya, keputusan politik yang mengabaikan kepentingan rakyat hanya akan membawa ketidakstabilan dan akhirnya menghukum rakyat melalui kesan terhadap ekonomi.
Beliau turut menjelaskan penangguhan pemilihan parti bukan keputusan baharu kerana ia telah dipersetujui perwakilan melalui pindaan perlembagaan sebelum ini.
Tambahnya, UMNO perlu kekal bersatu dan mengelakkan polemik dalaman supaya lebih bersedia menghadapi pilihan raya akan datang.










