UMNO Tidak Pernah Bersama DAP, Penyertaan Kerajaan Demi Selamatkan Negara – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, — UMNO menegaskan bahawa parti itu tidak pernah membentuk kerjasama politik dengan DAP, sebaliknya menyertai kerajaan Perpaduan atas dasar tanggungjawab untuk menyelamatkan dan mengurus negara ketika berdepan kebuntuan politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dibuat berlandaskan kepentingan negara ketika Malaysia berdepan situasi luar biasa apabila gagal membentuk kerajaan selama lebih lima hari, satu keadaan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Kita tidak pernah bersama DAP. Apa yang kita lakukan ialah membuat perjanjian untuk mengurus negara. Ketika itu negara tidak berkerajaan dan tiada mana-mana pihak mampu membentuk kerajaan selepas pilihan raya,” katanya.

Mohamad berkata UMNO pada peringkat awal mencadangkan agar Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan, namun usaha itu gagal apabila tiada kesepakatan dicapai.

“Saya telah menyatakan dua hari selepas pilihan raya supaya PN dan PH membentuk kerajaan. Tetapi mereka tidak mampu. Apabila mereka gagal, PN pula menolak titah Tuanku. Ketika itulah UMNO dipanggil,” katanya.

Menurut beliau, keutamaan UMNO pada ketika itu adalah memastikan kesejahteraan negara dan mengelakkan kesan buruk kepada rakyat akibat ketiadaan kerajaan.

“Negara tanpa kerajaan adalah sesuatu yang amat tidak baik. Akhirnya rakyat yang akan menerima akibat dan menderita. Sebab itu kita bersetuju untuk berada dalam kerajaan,” katanya.

Mohamad menegaskan penyertaan UMNO dalam kerajaan Perpaduan bukan tanpa syarat, sebaliknya berpaksikan kepada satu perjanjian yang jelas.

“Kita bukan sekadar berada dalam kerajaan tanpa pendirian. Ada perjanjian yang telah kita letakkan dan perkara itu perlu diingat semula, terutama kepada mereka yang mungkin terlupa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun UMNO berada dalam kabinet yang sama dengan parti lain, parti itu tidak harus dipandang remeh atau diambil kesempatan.

“Walaupun kita berada dalam kabinet yang sama, jangan sesekali mengambil ringan pendirian dan prinsip UMNO,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles