UMNO Tegaskan Sikap Jujur Penting Dalam Berpakat

UMNO menegaskan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU dibuat setelah mengambil kira pandangan akar umbi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keputusan itu juga berdasarkan pertimbangan secara berhemah berkenaan buruk baiknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Selain itu UMNO turut memutuskan kebersamaannya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Ahmad Maslan turut menambah, UMNO berpegang kepada prinsip bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina di atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efektif mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan, demi menjaga kemaslahatan rakyat.

Ahli Parlimen Pontian itu turut memaklumkan satu perjumpaan khas antara UMNO, BERSATU dan PAS yang diwakili lima kepimpinan tertinggi bagi setiap parti telah diadakan pada 15 Februari lalu.

“Di dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri merangkap Presiden PPBM, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar UMNO membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama dengan PPBM sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU ke15.

“Bagi maksud tersebut, Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) telah mengadakan mesyuarat pada Jumaat, 19 Februari 2021 untuk membincangkan lanjut hasrat YAB Perdana Menteri tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan mesyuarat itu juga, Mesyuarat MKT telah sebulat suara bersetuju untuk Presiden UMNO mengutuskan surat kepada Presiden BERSATU bagi menyatakan keputusan:

i. Tiada kerjasama dengan PPBM dalam PRU15.

ii. UMNO berpendapat, kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Sementara itu, BERSATU akan membincangkan pendirian UMNO itu pada petang ini.

Latest articles

Related articles

spot_img