UMNO Tangguh Pemilihan, Fokus PRU16

KUALA LUMPUR: UMNO memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa fokus utama kini terarah kepada persiapan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Keputusan strategik itu dicapai secara sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataan media semalam.

Menurut beliau, pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung tahun ini ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang tidak melebihi enam bulan selepas PRU-16, selaras dengan peruntukan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 10.16, Fasal 10.6.1 dan Fasal 10.6.2.

Secara tradisinya, UMNO akan mengadakan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan pusat bagi memilih kepimpinan untuk tempoh tiga tahun.

Namun kali ini, keutamaan diberikan kepada penyusunan kekuatan dalaman bagi memastikan jentera parti berada pada tahap paling optimum.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha konsolidasi bagi mengelakkan pertembungan tenaga dan perpecahan tumpuan ketika spekulasi pembubaran Parlimen dan PRN semakin hangat diperkatakan.

“Aspek kesiapsiagaan jentera di semua peringkat perlu diberi keutamaan memandangkan PRN dan PRU-16 boleh berlaku pada bila-bila masa bermula tahun ini,” jelas Asyraf.

Dalam mesyuarat sama, MKT turut memuktamadkan jadual persidangan tahunan parti bagi tahun 2026:
• Persidangan Tahunan Cawangan: 1 April – 17 Mei 2026
• Mesyuarat Perwakilan Bahagian: 1 Jun – 12 Julai 2026
• Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026): 12 – 16 Ogos 2026

PAU2026 dijangka menjadi platform penting bagi memperkukuh hala tuju dan strategi parti menjelang gelanggang pilihan raya akan datang.

BBerkaitan

Latest articles