UMNO tak tahu jika rundingan kerusi dengan PAS ditangguhkan – Mohamad

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau tidak tahu jika rundingan kerusi antara parti berkenaan dengan PAS telah ditangguhkan ketika ini.

Beliau berkata setakat ini, rundingan berkenaan masih berlangsung di bawah Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN), yang diadakan setiap dua minggu sekali.

“Saya cuma baca dalam media juga, tetapi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN baru-baru ini, kita (UMNO) nyatakan rundingan kerusia UMNO dan PAS (masih) diteruskan.

“Bahkan kita setuju (antara formula yang digunakan) kerusi yang dimenangi akan ditandingi oleh parti masing-masing, dan formula kedua kita setuju parti mana yang dapat undi terbanyak, kerusi berkenaan akan diberikan kepada parti berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Bangkit 15 di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya telah menghantar wakil untuk berunding dengan Bersatu mengenai pembahagian kerusi, dan perbincangan dengan UMNO ditangguhkan buat seketika, kerana parti itu kini berdepan kemelut dalaman.

Mohamad berkata UMNO akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada PAS berhubung perkara berkenaan, ketika Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN yang akan datang.

Ditanya hubungan antara UMNO dan PAS ketika ini, beliau berkata: “kita masih cium mulut lagi (masih baik lagi).”

Mengulas mengenai desakan segelintir pihak yang mahu UMNO mengadakan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada Jun ini beliau berkata, ia bergantung kepada keadaan semasa terutama ketika pandemik COVID-19 masih lagi mencatatkan kes yang tinggi.

“Dalam keadaan sekarang kita tengok (kes harian) COVID-19, kerana dalam pemilihan ahli wajib hadir, tapi ketika ini ada kesulitan dalam keadaan COVID-19 masih belum reda. Kita perlu patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Macam di (UMNO bahagian) Rembau ada 1,100 perwakilan. Kena cari dewan yang boleh muatkan 3,000 orang untuk patuh kepada SOP. Kita tak boleh bawa 20 peratus sahaja yang hadir, nanti mesyuarat tak sah. Itu kekangan-kekangan yang kami sedang teliti,” katanya.

— BERNAMA

Berita Berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Advertisment

Terkini