UMNO Tak Rugi Jika Tajuddin Mahu Berjuang Dengan PAS

KUALA LUMPUR: UMNO tidak rugi sekiranya Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ingin meninggalkan parti dan menyertai PAS.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut berkata bahawa sekuranh-kurangnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pasir Salak boleh memberi laluan serta peluang kepada kepimpinan muda di kawasan itu untuk menjadi calon pada PRU15 akan datang.

Beliau turut percaya apa yang berlaku itu sebagai peluang untuk UMNO dan BN Pasir Salak untuk melakukan reformasi kepimpinan dan mungkin bahagian ini akan jadi contoh terbaik kepada permulaan proses peremajaan UMNO.

”Tajuddin pun sudah lebih dua dekad menjadi Ahli Parlimen Pasir Salak dan macam-macam jawatan daripada menteri ke pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) hinggalah kepada Duta Khas.

“Jadi cukuplah tu. Bagilah peluang orang lain nak merasa jadi Ahli Parlimen pula,” katanya sambil mendakwa dia gelak besar apabila Setiausaha Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempelawa Tajuddin menyertai parti berkenaan.

Nur Jazlan menyifatkan sekarang ini pun Tajuddin hanya liabiliti dan tidak membawa keuntungan apa-apa kepada UMNO.

Dakwanya, individu yang suka perlekehkan presiden, memalukan parti sendiri memang tak layak lagi bersama UMNO.

”Orang macam ini sudah tak boleh dipercayai sama macam pemimpin Pas yang rakyat terutamanya pengundi Melayu Islam sudah tak percaya lagi dengan macam-macam retorik politik dan penunggang agama selama ini.

”Jadi lebih baiklah Tajuddin terjun bersama labu-labu sayongnya dan hanyut di Sungai Pasir Salak bersama Pas,” bidasnya.

BBerkaitan

Latest articles