KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil menegaskan PAS tidak boleh makan keliling dengan bermain dua kolam.
“Kami telah buat ketetapan untuk pergi solo. Terimalah hakikat ini. Salam,” katanya dalam hantaran media sosial hari ini.
Respon Isham itu merujuk kepada kenyataan Prsiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu penjelasan dari PAS berkenaan hasrat parti itu mahu kerjasama dengan UMNO berhubung kerusi PRU-15.
Dalam masa yang sama Isham berkata, Muhyiddin dan Bersatu perlu terima hakikat yang akar umbi Pas mahu UMNO.
Namun pemimpin PAS juga perlu terima hakikat yang jika mereka mahu bekerjasama dengan UMNO mereka perlu terlebih dahulu tinggalkan Bersatu.
“Sebab UMNO telah membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung dan Majlis Tertinggi yang UMNO tidak akan bekerjasama dengan pengkhianat (Bersatu).
“Oleh itu keputusan PAS yang ingin bekerjasama dengan kedua-dua UMNO dan Bersatu adalah bersifat akademik dan hanyalah angan-angan mereka yang mahu kira untung pada pihak mereka sahaja,” katanya.
Beliau juga bertanya kepada pimpinan PAS jika UMNO dan PAS bekerjasama, berapa kerusi yang mereka mahu dari UMNO.
“Berapa kerusi yang PAS ingin minta dari UMNO? dan berapa kerusi pula yang PAS ingin UMNO beri kepada pengkhianat Bersatu?
“Dan apabila kerusi-kerusi yang UMNO beri kepada PAS dan Bersatu) ini menang dengan sokongan akar umbi UMNO, apa jaminan yang kami dapat yang kamu (PAS dan Bersatu) akan kekal menyokong kami dan tidak menukar pendirian seperti sebelum ini?
“Akar umbi UMNO lebih bijak dan kami tidak akan dibiar ditipu oleh kamu,” katanya.