UMNO Tak Boleh Terus Hidup Dengan Nostalgia, Sokongan Melayu Kini 28%

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan UMNO supaya tidak terus terperangkap dengan nostalgia kegemilangan lalu, sebaliknya berani menerima realiti bahawa sokongan orang Melayu terhadap parti itu semakin merosot.

Beliau berkata, ketika ini sokongan Melayu kepada UMNO dianggarkan sekitar 28 peratus sahaja, satu isyarat jelas bahawa parti perlu melakukan perubahan besar jika mahu kembali relevan.

Menurut beliau, perkara itu disedari ketika menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pagi ini yang menyaksikan lautan perwakilan berbaju merah memenuhi dewan, mencerminkan semangat juang yang masih tinggi dalam kalangan ahli.

Dalam masa sama, Ismail Sabri menyambut baik penekanan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan keperluan kepada penyatuan berbanding perpecahan sebagai asas memperkukuh parti.

Katanya, dalam suasana politik semasa, penyatuan ummah Melayu amat penting bagi memastikan kedudukan agama dan bangsa terus terpelihara serta tidak terancam.

Beliau turut menyifatkan gagasan ‘Pintu Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan Zahid sebagai peluang besar untuk merapatkan jurang perbezaan, mengukuhkan semula kekuatan politik Melayu serta menarik kembali mereka yang berada di luar UMNO.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan agenda besar itu hanya akan berjaya jika semua pihak melaksanakannya dengan penuh keikhlasan dan kejujuran demi agama, bangsa dan tanah air.

BBerkaitan

Latest articles