UMNO Tak Akan Kena-Mengena Dalam Isu MP PN Sokong Anwar

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan tidak mengaitkan UMNO dengan isu dua Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) yang mengumumkan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga memberitahu bahawa Anwar sendiri tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian rupa.

“Tiada pimpinan UMNO yang terlibat dalam memujuk ahli Parlimen PN meskipun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah menarik sokongan 16 ahli Parlimen UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Perdana Menteri juga tiada mengeluarkan arahan ini kepada sesiapa. Saya berada di bawah beliau dan saya tidak pernah disuruh untuk melakukan perkara-perkara sebegitu kerana kerajaan sekarang kuat dan stabil,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Takaful Masuk Kampung di Dewan Homestay Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Radzuan Mohamed

Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN sedang mengumpul bukti berhubung dakwaan ugutan diterima ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor menambah, kesemua ahli Parlimen tidak kira daripada apa jua parti terikat dengan Akta Anti Lompat.

“Jika sebelum ini, lompat-melompat terjadi apabila kerajaan tidak stabil namun pada masa kini sudah ada akta lompat parti, mereka (ahli Parlimen) sudah tidak boleh keluar daripada parti mereka.

“Mereka boleh nyatakan sokongan tetapi jika mereka keluar daripada parti mereka, akan berlaku pilihan raya kecil (PRK) di kawasan mereka berdasarkan undang-undang akta lompat parti.

“Apa yang berlaku kepada (Ahli Parlimen) Kuala Kangsar (Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid) dan (Ahli Parlimen) Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, mereka tidak keluar daripada Bersatu tetapi mereka nyatakan sokongan kepada Perdana Menteri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles