“UMNO Sudah 34 Tahun di Sabah” — Ahmad Maslan Tolak Dakwaan BN Parti Luar

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) bukanlah parti dari Semenanjung apatah lagi dianggap pertubuhan asing, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, yang menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan mengelirukan.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan beberapa pihak yang mendakwa UMNO dan BN bukan parti tempatan, sedangkan rekod menunjukkan parti itu telah bertapak di Sabah lebih tiga dekad.

“UMNO dan BN sudah 34 tahun berada di Sabah. Bagaimana parti yang sudah lebih tiga dekad di sini boleh dianggap luar, sedangkan parti yang baru lima atau enam tahun beroperasi pula dilabel sebagai ‘lokal’?” katanya memetik MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Ahmad, jika diukur pada tempoh kehadiran, jelas BN jauh lebih lama berbakti kepada rakyat Sabah berbanding parti-parti seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“GRS baru tiga empat tahun, Warisan pun baru lima enam tahun. Takkan parti yang baharu nak dibandingkan dengan yang sudah lama menjadi sebahagian daripada komuniti di sini,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika turut serta menemani calon BN di DUN Tanjung Keramat, Jeffery Nor Mohamed dalam siri kempen rumah ke rumah di sekitar Taman Jumbo.

Sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, beliau menegaskan bahawa UMNO dan BN bukan saja parti tempatan, malah turut memainkan peranan besar sebagai parti nasional yang membentuk kerajaan Sabah sejak puluhan tahun.

“Jadi tuduhan bahawa BN atau UMNO parti luar adalah tidak betul sama sekali. Kami parti lokal dan nasional, dengan pengalaman panjang serta jasa yang banyak terhadap Sabah,” tegasnya.

Ahmad turut memberi jaminan bahawa BN akan terus komited membangunkan Sabah melalui pengalaman panjangnya dalam pentadbiran dan hubungan akar umbi yang telah dibina sejak bertahun-tahun.

BBerkaitan

Latest articles