UMNO Rugi Jika KJ Tak Bertanding PRU15

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan pengumuman Khairy Jamaluddin yang membayangkan tidak akan mempertahankan kerusi Rembau dalam pilihan raya akan datang sebagai satu kerugian buat parti itu.

Terdahulu Khairy, yang juga Menteri Kesihatan memberitahu dirinya akur untuk melepaskan Parlimen Rembau jika diminta oleh parti untuk memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam hantaran di Facebook, Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas memberitahu beliau mengenali Khairy secara peribadi sejak sama-sama bergiat aktif dalam pergerakan Pemuda UMNO dan melihat Menteri Kesihatan itu mempunyai kebolehan tersendiri untuk ‘deliver’ serta melunaskan tanggungjawab dengan baik.

“Ya, adakala beliau agak lantang memberikan sudut pandang atau perspektif yang agak berbeza. Namun ia tidak bermakna pandangan beliau betul semuanya atau salah semuanya,” katanya.

Khairy, menurut Reezal adalah seorang menteri yang sering memberi hujah-hujah bernas dalam Mesyuarat Kabinet.

Malah, katanya, kepimpinan beliau juga diiktiraf di peringkat antarabangsa hingga membolehkannya dipilih sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 pada Mei 2022 lalu.

Bahkan Khairy juga mampu memberi kelebihan kepada UMNO dalam PRU15 ini terutamanya untuk menarik pengundi khususnya kumpulan belia 18 tahun dan pengundi kali pertama (first-time voters).

“Perubahan demografi pengundi pasca Undi 18 ini juga dilihat cukup dinamik dan KJ mempunyai aura tersendiri yang boleh mengekalkan momentum kemenangan buat Umno dan BN.

“Seperti manusia lain juga, KJ tidak sempurna tetapi saya yakin keupayaan dan kebolehan KJ sebagai seorang pemimpin akan terus menjadi aset politik yang cukup penting untuk kemenangan parti dalam PRU-15 akan datang ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles