UMNO Pilih Kerajaan Perpaduan Yang Diterajui PH

KUALA LUMPUR: UMNO, menerusi Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berakhir pukul 1 pagi tadi memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

Dalam kenyataan satu muka surat itu, UMNO berkata, pihaknya memilih kerajaan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).

“MKT secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional (BN) menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan Perpaduan yang bukan diteraju oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” kata kenyataan itu UMNO awal pagi ini.

Malah turut dinyatakan, MKT UMNO juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, UMNO turut tidak mengusulkan cadangan agar presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meletakan jawatan.

“MKT memperkukuhkan sokongan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Mesyuarat yang berlangsung selama lebih lima jam itu turut memutuskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) akan diadakan pada 21 hingga 24 Disember depan.

BBerkaitan

Latest articles