UMNO perlu menang PRU-15 dengan majoriti besar untuk bentuk kerajaan stabil – Mohamad

KUALA LUMPUR, UMNO mesti memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan majoriti besar untuk membentuk kerajaan yang stabil dan tidak boleh bergantung harap kepada belas ihsan pihak lain, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata UMNO mesti menampilkan kepimpinan kerajaan yang mendapat mandat yang padu, berwibawa dan mampu memacu pembangunan Malaysia berkali ganda selain menampilkan kepimpinan berprestasi dan berpengalaman yang boleh mengemudi ia menjadi sebuah negara berpengaruh dan maju.

“Adalah sangat penting di mana dasar UMNO boleh diterjemahkan menjadi dasar kerajaan. Yang mana parti dan kerajaan akan seiring sejalan,” kata beliau dalam ucaptama perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, malam ini.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata untuk itu, tumpuan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini mestilah menyediakan parti untuk PRU akan datang dan bukannya berkisar soal pemilihan parti.

“Fokus untuk tahun 2022 ini bukan pemilihan dalam parti, bukan singkir-menyingkir dan bukan mengagihkan segala jawatan dan habuan. Fokus sebenar kita adalah untuk UMNO kembali memenangi PRU, menjadi kerajaan dan memimpin negara.

“Saya yakin dan benar-benar percaya kita boleh berjaya. Tidak mudah, tetapi boleh! Sudah tentu ada cabaran dan halangan…lautan mana yang tidak bergelora tetapi, kalau kita bersedia dengan rapi dan teliti, serta bekerja kuat, nescaya tiada bukit terlalu tinggi untuk didaki, tiada lurah terlalu curam untuk dituruni,” katanya.

Majlis perasmian ketiga-tiga sayap parti yang diadakan sepenuhnya secara bersemuka itu turut dihadiri Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; dua naib presiden Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan ketua bagi ketiga-tiga sayap.

Mohamad berkata keyakinan untuk UMNO menjadi parti terkuat dan menang pilihan raya adalah bersandarkan kepada kewujudan trend perubahan dalam landskap politik nasional, prestasi yang dimiliki BN berbanding parti lain selain parti telah mula berubah termasuk memperjuangkan agenda pembaharuan.

Selain itu, menuju ke PRU-15, beliau turut menyarankan beberapa strategi penting untuk dilaksanakan parti yang meliputi soal kemajmukan dan kepelbagaian; melebarkan sokongan dalam kalangan orang Melayu bandar; memerlukan ‘”visi yang konkrit” untuk Malaysia serta memutuskan secara strategik, siapakah yang mahu diajak berpakat dan bagaimanakah formula perkongsian kuasa yang harus ditawarkan.

“Saya meramalkan bahawa kerjasama politik selepas PRU ini, bagi maksud membentuk kerajaan yang kuat, mesti bersandarkan ‘A Common Agenda for A Common Future”. Ia berpandukan agenda dan bukan bersandarkan pakatan.

“Cukuplah dengan penubuhan segala bentuk perikatan, barisan, pakatan dan gabungan. Semua itu hanyalah kosmetik. Tidak disandarkan kepada satu agenda bersama demi Malaysia yang lebih baik tetapi sekadar tolak ansur politik demi mahu berkongsi kuasa,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata PRU-15 wajar disegerakan meskipun ada dalam kalangan ahli parti yang membantah cadangan itu.

Katanya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk penting kepada parti dan tindakan melengahkan PRU akan membuka potensi kebangkitan pihak lawan.

“Masanya (adalah) sekarang dan bukan tahun hadapan. (Ini kerana) pertama, kerana pihak lawan ternyata sangat lemah; kedua, umum mengetahui bahawa persefahaman politik pembangkang adalah sangat bercelaru; ketiga, pelbagai pilihan raya semasa pandemik telah berlangsung dengan berjaya dan teratur; selain keempat, prestasi kita sebagai kerajaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor dalam dan luaran.

Kerana itu, adalah sangat berisiko untuk melengahkan PRU dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu akibat pelbagai faktor dalaman dan antarabangsa. BN mesti mengembalikan semula mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang sah. UMNO adalah penjaga demokrasi di negara ini…bukan sekadar pemain politik biasa. Kita yang membidani, menyubur dan melestarikan demokrasi di tanah air ini,” katanya.

TEKS UCAPAN PENUH PERASMIAN SAYAP-SAYAP UMNO

Ucapan Perasmian Wanita, Pemuda & Puteri Umno 16 March Full Copy

BBerkaitan

Latest articles