UMNO Perlu Lihat Cara Ia Ditadbir Supaya Dapat Tarik Semula Sokongan Melayu

KUALA LUMPUR: Semua pihak di dalam UMNO, baik pimpinan tertinggi, bahagian dan sayap perlu bertanggungjawab dengan prestasi lemah parti itu pada pilihan raya negeri, Sabtu lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga mahu parti melihat kembali bagaimana ia diuruskan pada ketika ini, dalam usaha menarik dan memulihkan kembali sokongan kaum Melayu.

“Bagi pendapat saya, semua pemimpin Umno di setiap peringkat termasuk ‘Top 5’, MT (Majlis Tertinggi), ketua-ketua bahagian di setiap negeri tersebut termasuk Wanita, Pemuda, Puteri kena bertanggungjawab ke atas kekalahan ini.

“Kita kena melihat semula sama ada cara Umno ditadbirkan selama ini dapat terus menarik sokongan orang Melayu pada masa akan datang. Kita perlu melihat perkara ini dari sekarang sebelum menjelangnya PRU16 yang akan diadakan pada tahun 2027,” kata beliau selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar IPTA/IPTS, semalam.

Malah Johari juga menegaskan UMNO kini perlu menerima hakikat bahawa ia semakin hilang sokongan dan penerimaan di Pantai Barat, selain Kelantan, Terengganu dan Kedah yang sepertinya sudah menjadi kubu kuat pembangkang.

Tambah Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi, manakala keputusan PRN menunjukkan di negeri yang agak baik pembangunannya seperti Pulau Pinang dan Selangor, UMNO hanya mampu meraih dua kerusi masing-masing di negeri berkenaan.

“Di Negeri Sembilan, sokongan orang Melayu untuk kita juga menurun. UMNO menang hanya 14 daripada 17 DUN yang dipertandingkan,” katanya.

Pada PRN Sabtu lalu, UMNO bertanding di 108 kerusi DUN, namun cuma menang 19 kerusi.

BBerkaitan

Latest articles