UMNO Perlu Henti Salahkan Orang Lain – Johari

Naib Presiden Umno Johari Ghani berkata parti itu harus berhenti menyalahkan orang lain, sebaliknya melihat diri sendiri untuk menangani penurunan popularitinya.

Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, parti itu juga harus berhenti meletakkan kesalahan kepada bekas pemimpin Umno, PKR dan DAP, sambil menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak produktif.

Beliau berkata, perjuangan untuk kembali relevan sebaliknya terletak pada setiap ahli parti itu, lapor The Vibes.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu menambah bahawa Barisan Nasional (BN) adalah sekuat ahli komponennya juga.

“Jika Umno kuat, begitu juga sekutunya dalam Barisan Nasional, MCA dan MIC. Jika kita dalam keadaan lemah, begitu juga MIC atau MCA. Ia logik mudah,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas di Bertam Resort, semalam.

Beliau juga berkata, satu-satunya cara untuk Umno mengukuhkan diri ialah bekerja lebih keras dan menumpukan perhatian kepada dirinya sendiri berbanding apa yang difikirkan orang lain.

Menurutnya, selepas tewas di kerusi Titiwangsa pada PRU 2018, beliau terpaksa bekerja lebih keras berbanding sebelum ini untuk meyakinkan ahli parti dan orang luar menyokongnya.

Katanya, Umno perlu kembali ke akar umbinya dalam memilih pemimpin yang betul di tengah-tengah perjuangannya untuk meletakkan semula dirinya berikutan kerugian besar dialami pada pilihan raya 2018 dan 2022, walaupun kini menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

Sambil menambah bahawa masa depan penuh dengan cabaran, beliau berkata: “Apa yang penting ialah jangan berputus asa, bekerja lebih keras dan dengan masa, sokongan akan kembali kepada Umno.”

Johari berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR, pernah menjadi ahli Umno dan parti itu telah mengenal pasti kemahiran dan keupayaan kepimpinannya.

Beliau berkata, parti itu sepatutnya berterima kasih kepada Anwar kerana cuba memartabatkannya dan belajar bekerjasama dengannya untuk memajukan negara.

BBerkaitan

Latest articles