UMNO Perlu Berubah, Bukan Lagi Dengar Suara Pemimpin

KUALA LUMPUR: Sekiranya UMNO mahu parti kekal relevan dalam kalangan penyokong, maka ia perlu berani melakukan perubahan dengan mengutamakan suara rakyat dan bukan hanya mengikut pemimpin.

Hal itu ditegaskan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dipercayai selepas melihat prestasi UMNO dan Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Beliau menekankan adalah penting untuk kepimpinan tertinggi parti mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO yang semakin terhakis sejak pilihan raya umum 2018 yang lalu.

“Ramai yang bercakap mengenai kekalahan UMNO yang besar berbanding dengan kemenangan besar parti lain.

“Maksud disini ramai yang masih sayangkan UMNO tetapi tidak percaya pada UMNO.

“Tugas pemimpin UMNO kali ini adalah untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO.

“Membawa suara rakyat perlu diutamakan bukan suara pemimpin. Berani untuk berubah, jika kita tidak mahu UMNO terus dilupakan,” demikian memetik hantaran di Facebooknya hari ini.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri semalam menyaksikan parti itu mencatatkan prestasi buruk apabila hanya menang 20 daripada 107 kerusi ditandingi.

Ia menyaksikan BN hanya menang dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor (Sungai Air Tawar dan Dusun Tua); Kedah (Bayu); Kelantan (Galas) dan Pulau Pinang (Bertam dan Sungai Acheh).

Di Kedah dan Terengganu, semua calonnya tewas termasuk dua bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

BN Negeri Sembilan pula menang 14 daripada 17 kerusi ditandingi namun gagal mempertahankan 36-0 bersama gabungan Pakatan Harapan apabila lima kerusi DUN dirampas Perikatan Nasional (PN).

BBerkaitan

Latest articles