UMNO Perlu Ambil Iktibar Atas Tindakan Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melepaskan semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat menyertai PKR harus dijadikan pengajaran besar buat UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday.

Dalam satu kenyataan, beliau menyifatkan langkah Zafrul bukan sekadar keputusan peribadi, sebaliknya refleksi kepada pendekatan UMNO dalam menerima tokoh luar tanpa melalui proses dalaman parti.

“Langkah ini bukan spontan, ia dirancang. Mungkin ada ‘sutradara’ di belakangnya. Namun bagi UMNO, yang berlalu biarlah pergi, yang penting kita ambil iktibar,” katanya.

Md. Jais turut membandingkan Zafrul dengan tokoh teknokrat lain seperti Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Idris Jala dan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang berkhidmat dalam kerajaan tanpa menyertai struktur parti.

Menurutnya, perbezaan utama ialah Zafrul memegang jawatan penting dalam UMNO tanpa melalui proses biasa, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan perjuangannya.

Sehubungan itu di masa akan datang Md. Jais menyeru UMNO mengelakkan dari terlalu mudah melantik teknokrat ke dalam parti tanpa proses saringan perjuangan dan mengutamakan profesional akar umbi yang setia dan faham perjuangan UMNO walaupun tidak popular.

“UMNO bukan parti korporat. Perjuangannya lahir dari semangat kebangsaan dan nilai perjuangan yang mesti difahami oleh setiap pemimpin,” tegas beliau.

Tengku Zafrul sebelum ini pernah menjadi CEO CIMB dan dilantik sebagai menteri semasa era Perikatan Nasional tanpa melalui pemilihan dalaman UMNO.

BBerkaitan

Latest articles