IPOH: UMNO Perak membidas tindakan segelintir pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang didakwa membuat keputusan awal berhubung permohonan pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Badan Perhubungan UMNO Perak menegaskan tiada mana-mana pihak berhak mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan dengan menentukan sama ada seseorang yang telah disabitkan kesalahan layak menerima pengampunan atau sebaliknya.
Dalam kenyataan hari ini, UMNO Perak berkata permohonan pengampunan Najib tidak wajar ditafsirkan sebagai usaha menolak atau menafikan keputusan mahkamah.
“Permohonan pengampunan bukan perbicaraan semula atau rayuan tambahan melalui saluran politik, sebaliknya suatu proses yang diperuntukkan Perlembagaan selepas seseorang disabitkan dan dihukum.
“Kenyataan sedemikian bukan sahaja mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan, malah berisiko mewujudkan tekanan politik terhadap suatu proses yang sepatutnya diberikan ruang untuk berjalan secara tertib menurut Perlembagaan,” katanya.
UMNO Perak berkata Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 42 menyediakan kerangka khusus bagi pengampunan dan proses itu perlu dihormati tanpa campur tangan atau tekanan daripada mana-mana pihak.
Menurutnya, setiap institusi mempunyai fungsi tersendiri dalam sistem keadilan negara, termasuk mahkamah yang menjalankan perbicaraan, menentukan sabitan serta menjatuhkan hukuman, manakala Jabatan Penjara melaksanakan hukuman berkenaan.
“Pada masa sama, Perlembagaan turut menyediakan satu proses tersendiri bagi mempertimbangkan permohonan pengampunan selepas seseorang disabitkan dan dihukum.
“Setiap proses mempunyai fungsi dan kedudukannya masing-masing dalam kerangka undang-undang dan Perlembagaan negara,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Mesyuarat pada Jumaat lalu turut membabitkan Menteri yang bertanggungjawab, Hannah Yeoh, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar serta tiga ahli yang dilantik Yang di-Pertuan Agong.
Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman berkenaan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
UMNO Perak menegaskan pendiriannya untuk terus mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, termasuk menjunjung institusi Raja-raja Melayu.
Parti itu berkata pihaknya akan menghormati apa juga keputusan yang dibuat melalui proses sah dan selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Komitmen ini adalah asas kepada pendirian UMNO dalam memastikan setiap proses berkaitan keadilan, pengampunan dan tadbir urus negara terus dihormati tanpa dipengaruhi tekanan politik,” katanya.










