KUALA LUMPUR: UMNO hari ini menggugurkan keahlian empat ahlinya yang bertanding atas tiket parti lawan pada Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) digugurkan keahliannya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan itu diambil selepas borang penamaan calon masing-masing diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Sabtu lalu.
Mereka yang digugurkan adalah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon bebas bagi kawasan Padang Besar; Datuk Seri Shahidan Kassim (Parlimen Arau); Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran); dan Datuk Azhar Ahmad di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.
“Pengguguran keahlian mereka ini adalah selaras dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO, iaitu seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti, atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan DUN akan gugur keahlian dengan sendirinya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Atas sebab pengguguran itu, jawatan yang disandang mereka di peringkat UMNO Bahagian akan dipangku oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian berkenaan.
Ahmad juga menambah UMNO turut menyiasat beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi keempat-empat individu terbabit semasa proses penamaan calon.
Jelas beliau, tindakan itu boleh disifatkan menyokong calon berkenaan untuk bertanding atas tiket parti lawan.