UMNO, PAS, PKR dan Amanah Bermusyawarah Cari Titik Persamaan

KUALA LUMPUR: Lapan parti politik merentasi blok kerajaan dan pembangkang mencatat sejarah tersendiri apabila duduk semeja dalam satu pertemuan khas bagi membincangkan isu berkaitan kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera.

Pertemuan yang dianggap bersejarah itu menghimpunkan wakil daripada Umno, PAS, PKR dan Amanah, selain turut disertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Sesi musyawarah berkenaan berlangsung di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, atas mandat Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Asyraf, pertemuan tersebut diadakan sebagai platform awal untuk menghimpunkan pelbagai parti politik tanpa mengira kedudukan mereka sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang, demi membincangkan kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan masyarakat Melayu serta Bumiputera.

Beliau menjelaskan, musyawarah itu membuka ruang kepada pemimpin parti untuk bertukar pandangan secara terbuka bagi mencari titik persefahaman dalam isu yang menyentuh masa depan kelompok berkenaan di negara ini.

“Dalam sistem demokrasi, perbezaan pandangan antara parti politik adalah perkara biasa, khususnya apabila mereka berada di blok yang berbeza.

“Namun apabila melibatkan kepentingan Islam, kedudukan orang Melayu serta masa depan Bumiputera, perkara itu sepatutnya menjadi asas penyatuan yang mengatasi perbezaan politik kepartian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau, hasil perbincangan tersebut, semua pihak yang hadir turut mencapai persetujuan untuk menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera.

Sekretariat itu akan berperanan sebagai wadah perundingan dan perbincangan berterusan bagi membincangkan isu-isu strategik yang melibatkan kepentingan bersama.

Sebelum ini, ketika menggulung ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, Zahid menyuarakan hasrat untuk mewujudkan satu bentuk kerjasama besar atau “kolaborasi agung” yang digambarkan sebagai ‘Rumah Bangsa’, bertujuan menyatukan parti-parti politik Melayu dan Islam di negara ini.

BBerkaitan

Latest articles