UMNO Melakar Sejarah Hitam – Penganalisis Politik

UMNO melakar sejarah hitam dan bakal mengalami kelumpuhan setelah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memecat Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar serta menggantung beberapa ahli lain termasuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, kerakusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan meranapkan UMNO dan bakal dicatat dalam sejarah Malaysia kerana presidennya menghancurkan UMNO serta kehancuran tersebut datangnya dari dalam parti itu sendiri.

Kartini melalui kenyataannya berkata, ada pihak berpandangan bahawa Ahmad Zahid mempunyai agenda tersembunyi untuk menggabungkan UMNO dan PKR sebagai satu parti demi mengembalikan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Dan cara untuk perkahwinan ini berjaya ialah memecat atau menggantung ahli UMNO yang pada hemah Zahid akan menjadi duri dalam daging,” katanya.

Ia susulan mesyuarat MKT malam tadi yang membuat keputusan memecat bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor dan bekas ahli Parlimen Rembau itu berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu, beberapa pemimpin lain digantung selama enam tahun termasuk Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd. Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Turut dipecat ialah lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari negeri Pahang yang Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN) dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU15.

Sementara itu, Kartini berkata, ada juga andaian yang mendakwa pembersihan dalaman UMNO bertujuan menghidupkan semula parti itu dan menjadi lebih kuat, ibarat burung pheonix yang harus mati dahulu sebelum dibangkitkan semula (resurrection).

Tambahnya, perbuatan Zahid itu tidak dihargai ahli UMNO dan orang Melayu, malah UMNO akan terus ditolak dan PRN negeri bakal menentukan masa depan UMNO yang kelihatan hitam gelap di hadapan. – Utusan

BBerkaitan

Latest articles