UMNO Makin Berpecah, Annuar Luah Rasa Sedih

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meluahkan rasa sedih dengan UMNO yang didakwa semakin berpecah.

Situasi ini, ujarnya, amat berbeza dengan BERSATU dan PAS yang terus memperkukuhkan kerjasama dalam mendepani pilihan raya yang akan datang,

“Biar apa pun reaksi yang cuba ditunjukkan,hati kecil saya tetap merasa pilu dan sedih menatapi kenyataan dua parti politik Melayu memperbaharui iltizam mengikat kerjasama kearah PRU15 sementara parti saya sendiri mengisytiharkan perpecahan demi perpecahan.

“Mereka begitu konsisten berjuang dan meletakkan agenda penyatuan di hadapan. Nada yang dulunya digarap bersama satu ketika dulu,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya, semalam.

Annuar, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, meskipun apa jua yang berlaku, beliau akan terus menggunakan platform UMNO untuk meneruskan perjuangan.

“Apa pun saya tidak akan berputus asa. Dengan saki baki kudrat yg masih ada, saya istiqamah berjuang atas paksi membawa UMNO dalam jajaran asal berpaksikan penyatuan parti parti Melayu bersama parti sahabat yang lain untuk menentang PH (Pakatan Harapan) dan yang bersama mereka,” katanya.

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, hubungan baik dan gerak perjuangan akan diteruskan dengan semua 13 parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Tidak mungkin bergerak sendirian, apa lagi bertempur sesama parti Melayu yang hanya menguntungkan parti sosialis, DAP dan liberalis, PKR. InsyaAllah kita terus berjuang,” katanya.

Annuar, sebelum ini dipecat sebagai Setiausaha Agung BN setelah didakwa pro BERSATU kerana sering menyebelahi pendirian parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

BBerkaitan

Latest articles