KUALA LUMPUR: UMNO mengambil pendirian yang jelas dan tegas berhubung Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti, dimana ia mesti disegerakan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata apa yang diperjuangkan parti itu untuk akta berkenaan diluluskan segera di Parlimen adalah mahu mempertahankan hak rakyat.
Justeru, katanya, apabila rakyat memilih wakil mereka melalui pilihan raya, wakil yang dipilih dan menang mesti memegang amanah rakyat serta parti.
“Mereka tidak boleh bertindak melompat parti sesuka hati kerana rakyat dan partilah yang menyebabkan mereka menang dalam pilihan raya.
“Sehubungan itu, dan dalam isu RUU Anti Lompat Parti ini, pendirian UMNO jelas, mesti disegerakan.
“Jika mereka melompat, rakyat dan parti berhak menghukum mereka. Mandat mesti diserahkan kembali kepada parti dan rakyat. Saya yakin anda bersetuju,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau menambah seseorang pemimpin iti diangkat sebagai wakil rakyat kerana adanya sokongan dari rakyat dan parti.
Oleh itu, ujarnya lagi, usah bertangguh-tangguh dalam isu berkaitan RUU Anti Lompat Parti.
Beliau turut mengulas kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang meminta semua pihak tidak perlu gopoh buat RUU Anti Lompat Parti.
Presiden PAS itu dilaporkan semalam berkata, tidak timbul isu berlengah-lengah kerana Bersatu akan berbincang dengan rakan dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk Sarawak dan Sabah serta sebahagian UMNO.
Kenyataan “sebahagian UMNO” itu menimbulkan persoalan dan tanda tanya Dr. Shamsul Anuar yang juga Pengarah Komunikasi BN.
“Sebahagian UMNO? Kenapa tidak semua (kepimpinan UMNO)?
“Kerana sikap beginilah antara sebab
PAS sukar menjadi rakan sejati dan setia. Malah, jika diperhalusi dan diamati, kenyataan Abdul Hadi sebelum inipun banyak tidak menghormati kepimpinan UMNO.
“Ia seolah mahu memecahbelahkan UMNO. Apapun tidak mengapalah. Kita memahami mengapa sikapnya begitu. Namun, UMNO punyai maruah dan harga diri. Ini mesti kita pertahankan,” ujar beliau.