UMNO Mahu istilah Kerajaan Perpaduan Malaysia Dikekalkan, Bukan Kerajaan MADANI

KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan kerajaan semasa perlu terus dirujuk sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia, bukannya Kerajaan MADANI, selaras dengan persetujuan yang dimeterai ketika pembentukan pentadbiran itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara berkenaan bukan sekadar soal istilah, sebaliknya menyentuh asas persetujuan antara parti-parti yang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, Perjanjian 18 Perkara yang menjadi asas pembentukan kerajaan dengan penglibatan 18 parti telah menetapkan secara jelas bahawa kerajaan berkenaan dinamakan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Daripada awal lagi kita sebut bahawa perkara yang termaktub dalam perjanjian perlu dihormati. Perkara pertama menyatakan kerajaan yang ditubuhkan mestilah dinamakan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Kerajaan ini bukan kerajaan satu parti. Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, perjanjian membabitkan 18 parti dimeterai dan dinamakan Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO tidak mempunyai masalah dengan penggunaan gagasan Malaysia MADANI sebagai wawasan atau war cry kerajaan, namun penonjolan istilah “Kerajaan MADANI” sehingga mengatasi identiti Kerajaan Perpaduan dilihat tidak selari dengan semangat persetujuan asal.

Beliau turut menegaskan status sebagai kerajaan perpaduan menuntut Perdana Menteri untuk sentiasa mengambil kira pandangan semua parti yang membentuk kerajaan, bukannya membuat keputusan seolah-olah pentadbiran itu dikuasai satu parti dengan majoriti mutlak.

“Sebagai Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri mestilah sentiasa berbincang dengan semua parti yang membentuk kerajaan dan tidak boleh bertindak seperti kerajaan yang mempunyai majoriti mutlak satu parti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Asyraf Wajdi menolak dakwaan UMNO atau Barisan Nasional (BN) mengkhianati mana-mana pihak dalam kerjasama politik.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa sebarang persefahaman politik mempunyai tempoh dan batas tertentu, khususnya sehingga Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya.

Katanya, selepas pembubaran Parlimen, setiap parti berhak menentukan sendiri hala tuju serta rakan politik yang mahu mereka bentuk.

“Bila kita bubar sahaja, terserah kepada parti untuk menentukan hala tuju masing-masing.

“Saya tidak menjangkakan di Sabah dan Sarawak pun mereka akan menentukan untuk bekerjasama. Mereka ada hak memilih rakan kerjasama politik masing-masing,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles