UMNO Letak Calon di Kawasan Berpotensi Menang — Zahid

KOTA KINABALU — Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu hanya akan meletakkan calon di kawasan yang mempunyai potensi tinggi untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO Sabah telah diberikan kuasa autonomi sepenuhnya dalam menentukan calon yang akan diketengahkan berdasarkan pertimbangan sendiri.

“Kita harus akui hakikat bahawa kita hanya akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi untuk menang, dan keutamaan akan diberi kepada calon yang dikemukakan UMNO Sabah sendiri.

“Kita menerima sehingga lima nama bakal calon bagi setiap kawasan, namun perlu diteliti dengan teliti berdasarkan kesesuaian dan peluang kemenangan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut memaklumkan bahawa perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) telah dijalankan bagi mengelak pertindihan kerusi antara kedua-dua gabungan dalam PRN Sabah.

“Ya, kita telah berbincang dengan PH agar tiada pertindihan kerusi. Namun, rundingan lanjut masih diteruskan dengan pihak Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” jelasnya.

Sementara itu, mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Sabah berhubung hak 40 peratus hasil Persekutuan yang perlu dikembalikan kepada negeri itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan menghormati keputusan berkenaan.

“Kerajaan akan meneliti keputusan tersebut dan biarlah perkara ini dibawa oleh Perdana Menteri untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles