KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti melahirkan rasa dukacita atas pengakhiran keputusan Mahkamah Persekutuan dalam rayuan akhir kes SRC International Sdn. Bhd. melibatkan bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak semalam.
Ujarnya UMNO terkilan kerana proses dan ruang untuk bekas perdana menteri itu mempertahankan diri terutamanya usaha untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelaan baharu membuat persiapan telah dinafikan.
Menurut beliau, bagi UMNO, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam tidak sama sekali dapat memadamkan jasa besar Najib sebagai Perdana Menteri yang telah membawa Malaysia ke mercu kejayaan dan meletakkan Malaysia di persada sebelum disuramkan oleh kegagalan dua kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Walau jasad dipenjara, semangat dan daya juang bekas Presiden UMNO itu dalam usaha mempertahankan dirinya serta tampil berada di barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra UMNO sehingga mampu bangkit semula selepas kekalahan PRU-14 akan tetap membara.
“UMNO akan terus bersama Najib dalam menghadapi perbicaraan kes lain yang sedang dihadapinya bagi menjamin beliau mendapat keadilan dan tidak dimangsakan dengan tekanan politik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International.
Ahmad Zahid turut meminta seluruh ahli UMNO bertenang dan menanam tekad bahawa segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.
“Ini termasuklah pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik Perdana Menteri Pakatan Harapan terdahulu dalam pelantikan hakim dan perjalanan sistem perundangan negara,” katanya.