JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan sasaran kerusi untuk dimenangi di Johor tercapai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata sudah menjadi amalan parti BN meletakkan calon boleh menang untuk diketengahkan itulah juga yang akan dilakukan di Johor.
“Saya telah pun bersama-sama dengan Pengerusi Perhubungan BN negeri memastikan bahawa persiapan PRU dimana 5 November ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon dan kita dapat maklum Johor akan umum pengenalan calon pada 3 November ini.
“Jadi kita siap sedia siapa juga calon dikemukakan. Menjadi amalan parti kita BN iaitu supaya meletakkan calon yang boleh menang untuk diketengahkan.
“Kita tunggu 3 November untuk finalise nama-nama yang akan dihubungi kepada semua calon. Di Johor nama-nama besar yang perlu kita lihat tentulah yang memungkinkan kita menang.
“Kita akan pastikan target yang telah diberikan kepada Johor dicapai untuk menyumbang kerusi bagi membolehkan pembentukan kerajaan yang menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan pencen faedah penakat Perkeso di Kampung Batu 4, Kota Tinggi semalam.