UMNO Johor kekal beri laluan Muhyiddin kerusi Parlimen Pagoh- MB Johor

PONTIAN: UMNO Johor kekal dengan pendirian untuk memberi laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata beliau akan berbincang dengan UMNO Bahagian Pagoh dalam masa terdekat kerana tidak mahu membelakangkan usul dibuat mesyuarat bahagian berkenaan semalam yang membantah pendirian itu.

Katanya, UMNO Johor menghormati usul UMNO Bahagian Pagoh yang mahu wakilnya bertanding tiga kerusi di bahagian berkenaan, termasuk kerusi Parlimen seperti PRU-14.

“Saya harap bahagian Pagoh terus mendukung muafakat, perbincangan dan kaedah menang-menang yang jadi pegangan dan kaedah UMNO Johor.

“UMNO Johor mempunyai pendirian kerusi (Parlimen) Pagoh harus dikekalkan pada Perdana Menteri. Kita (UMNO Johor) nak bertanding semua 26 kerusi kecuali Pagoh, kita beri laluan pada Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

BACA LAGI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed dilaporkan berkata, perwakilan persidangan bahagian itu sebulat suara meluluskan usul membantah keputusan pucuk pimpinan UMNO Johor memberikan laluan kepada Muhyiddin bertanding kerusi Parlimen Pagoh.

Muhyiddin adalah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mula menyandang kerusi itu sejak 1978 ketika bersama UMNO.

Pucuk pimpinan UMNO Johor membuat keputusan sekitar November lalu untuk parti berkenaan bertanding di 25 kerusi Parlimen di negeri ini bersama parti komponen Barisan Nasional (BN), kecuali kerusi Parlimen Pagoh.

Sementara itu, Hasni ketika merasmikan mesyuarat berkenaan, mendesak PRU-15 diadakan segera supaya kerajaan negeri ketika ini mendapat mandat lebih besar dan selesa dalam mentadbir Johor.

Katanya, usul menyegerakan PRU-15 itu juga dibangkitkan 14 bahagian UMNO negeri ini.

“Bukan mudah untuk tadbir Johor dalam keadaan hanya satu majoriti. Kerajaan Johor sangat rapuh, bila-bila boleh jatuh dan berubah sekelip mata. Boleh jatuh esok atau lusa.

“Macam mana pelabur nak percaya kita stabil dengan hanya satu majoriti. Jika PRU diadakan dan kita menang dengan selesa, perancangan lebih baik dan tersusun akan boleh dibuat berbanding sekarang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles