KUALA LUMPUR: UMNO didakwa semakin terasa dipinggirkan dalam Kerajaan Perpaduan walaupun menjadi sebahagian daripada kerajaan, kata Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.
Menurut beliau, parti itu sering dirunding apabila diperlukan, namun selepas itu diketepikan seolah-olah tidak lagi penting.
“Bila perlu, UMNO dipanggil. Bila tidak menguntungkan, UMNO dilupakan. Inilah realiti yang semakin jelas kami rasai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Nazifuddin berkata, lebih menyedihkan apabila usaha menteri-menteri UMNO selama hampir tiga tahun menjaga ekonomi, kestabilan dan kebajikan rakyat tidak diterjemahkan kepada peningkatan sokongan kepada parti.
Katanya, keadaan itu menunjukkan pendekatan lama sudah tidak lagi berkesan dalam landskap politik semasa.
Mengulas keputusan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal meletak jawatan dalam kerajaan negeri Melaka tetapi kekal dalam parti, beliau berkata tindakan itu bukan soal mencabar sesiapa.
Sebaliknya, ia lambang pendirian, maruah parti dan kejujuran kepada ahli yang semakin ragu sama ada UMNO benar-benar bersedia untuk bangkit semula.
Nazifuddin turut menyeru UMNO agar bersatu tanpa sabotaj dalaman, perebutan pengaruh atau permainan ego yang merosakkan kekuatan parti.
Menurutnya, penyatuan Melayu di bawah satu payung politik yang jelas dan tersusun adalah jalan ke hadapan untuk UMNO dan kestabilan negara dalam jangka panjang.
Beliau menambah, sebagaimana kaum Cina bersatu melalui DAP, orang Melayu juga perlu bangkit, berpadu dan menentukan masa depan sendiri.










