KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menggesa parti mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz susulan peletakan semua jawatan dalam UMNO dan keputusannya untuk menyertai PKR.
Menurut Puad, UMNO perlu menyemak semula akujanji yang ditandatangani Zafrul ketika menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk cadangan menuntut pampasan RM100 juta jika perbuatannya dikategorikan sebagai lompat parti.
“Saya akan mendesak UMNO semak balik akujanji semasa Zafrul menjadi calon BN. Apakah Zafrul boleh dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta kerana lompat parti?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Puad turut menegaskan isu ini akan dibawa ke mesyuarat MKT UMNO akan datang dan menggesa parti mengambil pendirian lebih keras, sambil menyindir tindakan PKR yang menerima Zafrul tanpa rundingan dengan rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO mesti menegur Presiden PKR secara terbuka jika permohonan Zafrul diterima. Tidak cukup sekadar meluahkan rasa kesal,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa tindakan unilateral seperti itu berpotensi menghakis kepercayaan akar umbi UMNO terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kestabilan kerajaan.
“Jika dibiarkan, tindakan seperti ini ibarat menikam belakang. Jangan salahkan UMNO jika keyakinan terhadap PMX terhakis,” tambahnya.
Malam tadi, Tengku Zafrul mengumumkan beliau melepaskan jawatan sebagai ahli MKT UMNO, Ketua Bahagian Kota Raja, dan keahlian UMNO, menamatkan penyertaannya dalam parti sejak tahun 1997.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menyertai PKR, dengan menyatakan permohonannya telah dimaklumkan kepada Presiden dan Setiausaha Agung PKR.
Terdahulu pada Disember lalu, Zafrul mengakui adanya perbincangan awal bersama PKR namun ketika itu belum membuat keputusan rasmi.